Friday 10 February 2012

PERSEMBAHAN MURID

Murid-murid SK St Mary aktif dalam tarian, sama ada tarian moden atau tarian tradisional. Selalunya para penari kebudayaan sekolah membuat persembahan semasa Hari Anugerah Pelajar, atau majlis-majlis yang disambut di sekolah. Kadangkala mereka dijemput untuk membuat persembahan di luar sekolah seperti dalam majlis yang dianjurkan di daerah malah di negeri.
Para penari terdiri dari murid Tahap Dua dan Tahap Satu. Kumpulan masing-masing akan membuat persembahan mengikut tema yang dikehendaki atau mengikut tema majlis yang diadakan. Berikut adalah beberapa gambar para penari Tahap Satu & Tahap Dua yang membuat persembahan sempena HAP yang diadakan pada setiap tahun.






Saturday 4 February 2012

TARIAN JOGET


TAHUKAH anda joget mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga adalah sejenis tarian dan lagu Melayu yang agak rancak iramanya, juga dikenali sebagai ronggeng, tandak dan chakunchak. Tarian joget adalah tarian yang paling popular di Malaysia. Ia di persembahkan menjelang sesuatu perayaan kebudayaan, meraikan majlis majlis perkahwinan dan juga majlis social yang lain.
Asal-usul tarian joget dikesan dan dikatakan mempunyai kaitan dengan elemen tarian Portugis apabila diperkenalkan di Melaka sejak era perdagangan rempah lagi pada kurun ke-14 Masihi.
Tarian ini dipersembahkan sepasang penari dengan kombinasi pergerakan tangan dan kaki yang pantas. Ia dianggap sebagai suatu tarian yang hebat dengan tempo pantas dan amat digemari di kalangan golongan muda mahupun tua. Tarian ini kebiasaannya boleh dilihat menjelang suatu pesta kebudayaan dan juga majlis perkhawinan Melayu. Di Melaka, ia juga dikenali dengan nama Chakunchak. Muzik joget dikenalpasti menerusi pengaruh violin barat, rebana Arab, Gong dari tanah Asia Tenggara dengan gaya nyanyian mengikut masyarakat di sekitar timur laut Malaysia.
Muzik tradisional adalah muzik oleh sesuatu kaum. Ia bergantung kepada budaya, adat dan penerimaan sesuatu bangsa. Setiap bangsa mempunyai cirri muzik yang tersendiri.
Di Malaysia, kebanyakan peralatan muzik tradisional zaman dulu banyak dimainkan golongan bangsawan saja. Namun, berikutan peredaran masa, rakyat biasa juga tidak ketinggalan menikmati alunan muzik tradisional ini.



Friday 3 February 2012

TARIAN ZAPIN

TARIAN Zapin Pekan adalah sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini yang asalnya dipercayai dari Tanah Arab menampilkan gerak yang lebih cepat dan tidak banyak langkah bunga tarinya.

Zapin Pekan dipercayai telah diperkenalkan di sekitar daerah Pekan, Pahang oleh seorang tukang songkok yang berasal dari Sumatera bernama Adam pada tahun 1930-an. Tarian Zapin Pekan bercorak tarian persembahan atau pertunjukan. Gerak tarinya berasaskan kepada langkah gerak penari. Sungguhpun tarian ini berasal dari Arab-Parsi, namun dari segi pakaian penari memakai busana tradisional Melayu selengkapnya.

Tarian ini digerakkan oleh dua hingga enam pasangan penari antara lelaki dan perempuan yang memakai baju gombang Pahang yang bersampin songket tenun dan bersongkok untuk lelaki dan baju kurung yang ditenun sebagai pakaian yang sesuai untuk tarian ini.

Tarian ini ditampilkan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama, permulaan tarian atau pembukaan tarian. Peringkat kedua ialah pecahan atau gerak serta lenggang tari dan peringkat ketiga adalah peringkat akhir iaitu sebagai penutup tirai tarian.

Zapin Pekan begitu popular pada tahun 1950-an dan 60-an di sekitar daerah Pekan terutama di Kampung Tanjung Gemuk dan Kampung Lamir. Tarian zapin ini biasanya ditarikan pada majlis perkahwinan dan majlis keramaian.

Anak-anak muda menjadi penggiat utama dalam tarian zapin ini kerana mereka mempunyai tenaga dan keupayaan menari dalam rentak dan pergerakan yang cepat.

Alat muzik utama yang digunakan dalam tarian ini ialah gambus, rebana, gendang dan marakas. Antara lagu berirama asli yang didendangkan mengikut irama zapin ialah lagu Lancang Kuning, Zapin Asli, Gendang Rebana dan banyak lagi.

Seorang pemuzik dikenali sebagai Tengku Mansor, mengambil inisiatif mencipta lagu sebagai pengiring kepada muzik dan tarian zapin. Antara lagu yang dicipta ialah Ya Salam, Yale-yale, Tanjung Serindit, Sri Pekan, Lanchang Kuning, Gambus Palembang dan Lancang Daik. Lagu ini dinyanyikan isteri beliau sendiri, Cik Norlia yang berasal dari Singapura.



PERTANDINGAN TARIAN SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH

MATLAMAT
Memberi pendidikan asas seni tari kepada murid peringkat sekolah rendah serta meningkatkan ilmu pengetahuan tentang nilai-nilai kesenian bangsa sebagai teras pembentukan masyarakat berbudaya.

2.0 OBJEKTIF
2.1 Menggalak serta menarik minat murid mengenali dan mempelajari asas-asas seni tari.
2.2 Mendedahkan pelajar kepada satu kaedah pembelajaran tari zapin, inang, joget, asli serta tarian rakyat yang sistematik.
2.3 Menggalakkan murid bergerak aktif sebagai usaha menyemarakkan seni budaya.
2.4 Ke arah mewujudkan sebuah kumpulan tarian di kalangan murid sekolah.
2.5 Sebagai altenatif mengisi masa lapang murid.

3.0 PERTANDINGAN
3.1 Bertujuan mempersembahkan keindahan gerak tari ke arah mencintai seni bangsa yang perlu dinikmati oleh setiap ganerasi agar is tidak luput ditelan zaman.
3.2 Menampilkan bakat dan kreativiti dalam seni tari tradisional dan tarian rakyat.

4.0 PENYERTAAN
4.1 Terbuka kepada semua murid sekolah rendah.
4.2 Satu kumpulan dianggotai oleh 10 orang (minimum) dan 12 orang (maksimum).
4.3 Terdiri daripada lelaki/perempuan sahaja atau campuran dan mestilah terdiri daripada pelbagai kaum (minimum 2 kaum).

5.0 KONSEP TARIAN
5.1 Konsep persembahan terbahagi kepada 2 kategori:

Kategori A Rampaian TIGA tarian tradisional (Zapin, Joget, Inang, Asli) dan BUKAN gerak tari KONTEMPORARI/KREASI BARU.

Kategori B SATU tarian rakyat negeri-negeri atau SATU tarian etnik di Malaysia.

5.2 Setiap kumpulan wajib, mempersembahkan kedua-dua kategori tarian. (Rampaian Tarian Tradisional dan SATU Tarian Rakyat/Etnik)
5.3 Persembahan kedua-dua kategori tarian tersebut wajib disertai oleh peserta/artis yang sama.
5.4 Persembahan Kategori A hendaklah tidak kurang dari 6 minit dan tidak melebihi 8 minit. Persembahan Kategori B hendaklah tidak kurang dari 4 minit dan tidak melebihi 6 minit.
5.5 Markah akan ditolak sekiranya persembahan kurang atau melebihi had masa yang telah ditetapkan.

6.0 LAGU / MUZIK IRINGAN
6.1 Lagu atau muzik iringan semasa persembahan boleh terdiri daripada lagu lama atau baru tetapi mestilah terdiri daripada lagu-lagu yang mengekalkan rentak asal tarian yang ditarikan.
6.2 Lagu atau muzik iringan semasa persembahan hendaklah menggunakan CD sahaja (Instrumental atau muzik yang mengandungi suara dibenarkan).
6.3 CD hendaklah diserahkan kepada pengelola pertandingan sehari sebelum pertandingan dijalankan.

7.0 PAKAIAN / AKSESORI
Pakaian dan aksesori penari-penari hendaklah bersesuaian dan sopan.

8.0 CARA PEMARKAHAN
Kategori A (Rampaian Tarian Tradisional)
o Koreografi atau keaslian tari – 35
o Koordinasi muzik dan gerakan – 10
o Pecahan tari dan pola lantai - 15
o Kesantunan - 20
o Busana dan tatarias - 20
MARKAH PENUH 100

Kategori B (Satu Tarian Rakyat/Etnik)
o Koreografi atau keaslian tari – 35
o Koordinasi muzik dan gerakan – 10
o Pecahan tari dan pola lantai – 15
c Kesantunan – 20
o Busana dan tatarias – 20
MARKAH PENUH 100

Markah keseluruhan adalah gabungan daripada markah kedua-dua kategori.