Friday 3 February 2012

TARIAN ZAPIN

TARIAN Zapin Pekan adalah sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini yang asalnya dipercayai dari Tanah Arab menampilkan gerak yang lebih cepat dan tidak banyak langkah bunga tarinya.

Zapin Pekan dipercayai telah diperkenalkan di sekitar daerah Pekan, Pahang oleh seorang tukang songkok yang berasal dari Sumatera bernama Adam pada tahun 1930-an. Tarian Zapin Pekan bercorak tarian persembahan atau pertunjukan. Gerak tarinya berasaskan kepada langkah gerak penari. Sungguhpun tarian ini berasal dari Arab-Parsi, namun dari segi pakaian penari memakai busana tradisional Melayu selengkapnya.

Tarian ini digerakkan oleh dua hingga enam pasangan penari antara lelaki dan perempuan yang memakai baju gombang Pahang yang bersampin songket tenun dan bersongkok untuk lelaki dan baju kurung yang ditenun sebagai pakaian yang sesuai untuk tarian ini.

Tarian ini ditampilkan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama, permulaan tarian atau pembukaan tarian. Peringkat kedua ialah pecahan atau gerak serta lenggang tari dan peringkat ketiga adalah peringkat akhir iaitu sebagai penutup tirai tarian.

Zapin Pekan begitu popular pada tahun 1950-an dan 60-an di sekitar daerah Pekan terutama di Kampung Tanjung Gemuk dan Kampung Lamir. Tarian zapin ini biasanya ditarikan pada majlis perkahwinan dan majlis keramaian.

Anak-anak muda menjadi penggiat utama dalam tarian zapin ini kerana mereka mempunyai tenaga dan keupayaan menari dalam rentak dan pergerakan yang cepat.

Alat muzik utama yang digunakan dalam tarian ini ialah gambus, rebana, gendang dan marakas. Antara lagu berirama asli yang didendangkan mengikut irama zapin ialah lagu Lancang Kuning, Zapin Asli, Gendang Rebana dan banyak lagi.

Seorang pemuzik dikenali sebagai Tengku Mansor, mengambil inisiatif mencipta lagu sebagai pengiring kepada muzik dan tarian zapin. Antara lagu yang dicipta ialah Ya Salam, Yale-yale, Tanjung Serindit, Sri Pekan, Lanchang Kuning, Gambus Palembang dan Lancang Daik. Lagu ini dinyanyikan isteri beliau sendiri, Cik Norlia yang berasal dari Singapura.



No comments:

Post a Comment